Pencalonan
anugerah EOY 2006 dibuka
ERNST & Young Malaysia kini membuka
pencalonan untuk Anugerah Usahawan Tahunan (EOY) Ernst
& Young - Malaysia 2006, iaitu program penghargaan
berprestij kepada usahawan dan pemilik perniagaan tempatan
yang berjaya.
Rakan Pengurus Negara Ernst & Young
Malaysia, See Huey Beng, berkata sesiapa saja boleh
mengemukakan pencalonan, termasuk usahawan itu sendiri,
tetapi ia hendaklah dikemuka menggunakan borang khas
yang akan disediakan sebelum tarikh akhir pada 28 April
ini.
Borang pencalonan itu boleh diperoleh
menerusi pejabat Ernst & Young di seluruh negara,
pejabat penaja acara dan beberapa syarikat tertentu
atau memuat turun dari laman web, www.ey.com/my atau
www.eoy.com.my. Anugerah tahun ini ialah yang kelima
dianjurkan di Malaysia, sementara pada peringkat global
anugerah yang sama telah dimulakan di Amerika Syarikat
pada 1986.
Kini, anugerah global itu dianjurkan di
150 bandar raya di 35 negara. Sue berkata, penerima
anugerah itu akan mendapat pengiktirafan di kalangan
usahawan terkemuka antarabangsa dan membuka ruang untuk
membina perniagaan. Anugerah itu terbuka kepada semua
penduduk Malaysia yang memiliki dan menguruskan perniagaan
yang berusia sekurang-kurangnya dua tahun.
Bagi tempoh lima tahun berturut-turut,
program itu memberi penghargaan dalam lima kategori
iaitu Usahawan Baru Muncul, Teknologi, Wanita dan Master.
Usahawan yang menunjukkan kecemerlangan dan kejayaan
luar biasa dalam aspek inovasi, prestasi kewangan dan
komitmen peribadi terhadap perniagaan dan masyarakat
akan menjadi pilihan hakim.
Pemenang setiap kategori dijangka diketahui
menjelang November depan selepas proses penghakiman
akhir dimulakan pada Ogos..
Sumber : Berita Harian , 2 Februari 2006
|